Monday 21 November 2011

Misteri Jodoh... ^_^

Ramai yang menyangka perihal jodoh itu dapat dirancang. Kenyataannya tidak. Jodoh adalah ketetapan Tuhan yang tidak berubah biarpun sedikit.
 Ramai orang yang bercinta tetapi putus di tengah jalan. Mereka tidak bernikah kerana salah seorang daripada mereka bernikah dengan orang lain yang baru dikenalinya. Ramai juga yang bercinta bertahun-tahun lamanya sebelum ke jinjang pelamin kerana mahu menduga pasangan masing-masing. Kemudian apabila sudah bosan mereka berpisah dan memberi alasan sudah tidak serasi. Mereka mencari pasangan lain yang dirasakan tidak membosankannya. Akhirnya mereka terjerumus ke kancah maksiat.
 Apabila memilih jodoh, bukan sedikit anak muda yang memandang paras yang rupawan dan wajah yang tampan, kekayaan dan harta benda. Banyak juga perkahwinan yang hancur kerana pasangan masing-masing sudah tidak cantik, tidak tampan ataupun sudah ajtuh miskin. Ada juga orang yang bercinta sering keluar dating tetapi akhirnya bernikah dengan orang lain.
 Benar, jodoh itu ditangan Allah ramai yang bernikah bukan kerana nafsu ataupun cinta buta, melainkan atas sebab agama.
 Ada yang takut mahu berkahwin kerana miskin, tetapi tanpa kita sedari hampir semua orang menjadi kaya selepas berkahwin.
 Walaupun ada pasangan yang bernikah tanpa restu orang tua, mereka tetap berbahagia dan diberkati Allah dengan sakinah, mawaddah wa rahmah, iaitu rasa tenang, cinta dan kasih sayang.
  Apakah hikmah daripada kisah-kisah jodoh ini? Nampaknya orang sekarang lebih mengutamakan paras rupa, bentuk tubuh, harta kekayaan dan keseronokan dunia dalam mencari jodoh. Mereka seolah-olah enggan mempercayai ketetapan Allah berkenaan jodoh mereka. Sama ada orang itu sedang menyiapkan diri untuk bernikah ataupun baru terfikir ke arah itu, ataupun sudah terlena dalam pergaulan bebas, hakikatnya mereka lebih suka bercinta sebelum bernikah tanpa ada sedikit perasaan takut pada Allah. Bermacam-macam alasan diberi kononnya sudah suka sama suka dan tanpa segan silu mereka menjalin hubungan terlarang.
  Malah ada yang berkata perbuatan mereka itu adalah hak asasi sebagai manusia. Semuanya demi membenarkan kesalahan masing-masing. Asalkan tidak merugikan dan menganggu orang lain, pedulikan kata orang lain. Ternyata, mereka lupa pada hukum Allah. Akibatnya, Allah memalingkan tujuan asal mereka mahu mencari jodoh demi ikatan yang diberkati. Nauzubillah min zalik.
  Ada juga yang beranggapan bercinta dahulu sebelum bernikah juga penting kerana pernikahan hanya sekali seumur hidup. Malah, ada yang bercinta lebih daripada sekali. Apabila berumah tangga mereka mula bersa bosan kerana sudah bertemu mesra. Pernikahan bukan lagi satu peristiwa yang suci. Dalam majlis pernikahan, sudah tidak ada perasaan berdebar-debar, teruja dan kejutan. Sebaliknya, terasa hambar dan basi seolah-olah tidak ada yang istimewa lagi.
   Pada mereka yang memegang prinsip 'jangan sampai tersalah pilih', mereka seronok bertukar-tukar kekasih sebelum bernikah. Mereka rela menjadi bekas kepada kekasih hati mereka sendiri. Kemudiannya. mereka berumah tangga selepas penat bercinta semasa muda. Apabila lanjut usia, mereka bernikah dengan pasangan yang seadanya sahaja kerana sudah tidak ada kuasa mahu mencari pasangan lain yang lebih baik, sedangkan pernikahan adalah seumur hidup.
   Satu lagi alasan bagi menangguhkan pernikahan sehingga sudah lanjut usia   adalah mahu bersedia zahir batin. Akibatnya, apabila sudah sedia mahu berumah tangga, tidak ada pula gadis ataupun jejaka pilihan hati yang dapat diajak ke jinjang pelamin. Akhirnya kerana tidak ada pilihan dan tidak ada daya lagi menahan nafsu, mereka berkahwin dengan siapa sahaja yang sudi. Kesudahannya, pernikahan dilangsungkan tanpa membuat pertimbangan kualiti amalan agama, keturunan dan ahlak pasangan masing-masing.
  Malang nasib mereka yang lambat bernikah kerana mahu bersedia zahir dan batin. Realitinya, orang itu sebenarnya sudah bersedia bernikah. Bekalan berumah tangga semua sudah cukup tetapi rasa waswas menyelubungi mereka kerana asyik memikrkan sebab-sebab dan akibat selepas bernikah. Apabila  dikurniakan cahaya mata, anak yang menjadi mangsa.
  Mengapa?Anak yang meningkat usia remaja dan mahu melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, pasti memerlukan belanja yang besar. Malangnya, ibu dan ayah sudah tua dan  tidak berdaya mahu bekerja keras mencari pembiayaan pelajaran anak. Akibatnya, pelajaran anak tersekat.
  Sememangnya ini bukan rahsia lagi, anak-anak muda sekarang bingung kerana memikirkan segala masalah yang disebutkan tadi, sedangkan mereka sudah bersedia bernikah. Namun, Allah dan Rasul menganjurkan supaya segera bernikah. Sayang sekali, anak-anak muda sekarang mudah goncang jiwanya kerana dilanda krisis kepercayaan dan kerohanian. Mereka terjebak dalam khayalan memuja-memuja fizikal tubuh dan nafsu yang berlebihan.
  Ibu bapa boleh merancang dan mencarikan jodoh untuk anak mereka dengan syarat berikut:

  • Tidak menghalang kedua-dua belah pihak daripada percaya kepada Allah dan rasul-Nya.
  • Bertujuan baik iaitu menyambung keturunan, menyalurkan syahwat pada pasangan yangsah dan membina keluarga yang diberkati.
  • Kedua-dua pasangan mempelai adalah sekufu, iaitu ahlak dan agama yang setaraf perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik.
  • Tidak ada paksaan ke atas kedua-dua pihak lelaki dan perempuan. Apabila dipaksa, dikhuatiri pernikahan tidak bertahan lama.

Kita perli mengakui jodoh adalah ketentuan Allah yang diselimuti kabus misteri. Biarpun penuh misteri, ini tidak bermakna kita tidak dibenarkan berbincang berkenaannya. Memandangkan jodoh itu rahsia sifatnya, pertama Allah yang merahsiakan jodoh. Bagi yang belum berumah tangga dan tahu siapa jodoh kita, bertanya terus kepada-Nya kerana Allah lebih mengetahuinya. Kedua jodoh yang dirahsiakan, usah kita berlagak seolah-olah kita tahu siapa jodoh kita. Maksudnya, apabila kita jatuh cinta dan cinta kita dibalas, usah berlagak seperti kita tahu orang yang kita cintai dan mencintai kita itu adalah jodoh kita kerana jodoh adalah rahsia Allah. Ketiga hikmah rahsia jodoh, kita perlu bersyukur kerana Allah merahsiakan jodoh kita. Hasilnya, kesucian jodaoh itu terpelihara. Misteri jodoh itu membuatkan kita terpesona tatkala akad nikah dilafazkan.
  Jodoh tetap menjadi teka teki Allah yang tidak terungkap sebelum sampai waktunya. Sebagai insan, kita perlu sentiasa berdoa supaya misteri jodoh yamg selama ini belum terungkai menjadi saat indah yang hanya dirasai tatkala iktan suci penikahan dimeterai.
  Akhirnya, kesempurnaan hanya milik Allah, selain Allah pasti ada kekurangannya, termasuk diri. Sekiranya ada salah dan silap dalam apa jua bentuk saya sedia menerima kritikan dan saranan. Apa yang diungkapkan pasti untuk diri ini juga..assalamualaikum.

No comments: