Tuesday, 14 December 2010

Buat Hati Yang Ketandusan Cinta


Sabarlah duhai hati.
Tak perlu kau tagih cinta manusiawi yang bersifat sementara.
Ada cinta yang lebih kekal abadi buat dirimu.
Ada cinta yang bisa membuatkan kau mengalirkan airmata ketika hati merindui.
Ada cinta yang mampu memberikan ketenangan pada jiwamu ketika kamu dilanda keresahan.
Ada cinta yang boleh kau jadikan tempat merintih bila kesedihan datang menjenguk.
Ada cinta yang mampu memberikan apa sahaja yang kamu inginkan.
Namun, kadang-kadang cintamu itu pasti diuji.
Sekuat manakah cintamu pada-Nya, sehebat manakah kasih kamu pada-Nya.
Ujian datang dalam pelbagai cara.
Hatta sekecil-kecil perkara untuk menilai kesetiaanmu pada-Nya.
Andai kata kuat dan tetap hatimu pada-Nya, maka bergembiralah.
Jika hatimu goyah dan meragui kasih sayang-Nya selepas didatangkan ujian pada dirimu, maka sedarlah bahawa nilai cintamu disisi-Nya masih lemah.
Kembalilah pada cinta-Nya yang lebih agung dari kecintaanmu buat dunia dan isinya.
Sudah menjadi sunnah-Nya, setiap yang bergelar mukmin pasti akan diuji.
Dari ujian  itulah, Dia mencari hamba-hamba-Nya yang benar-benar mendambakan keredhaan dari-Nya.
Apakah kau sanggup menghadapi segalaan ujian itu?
Namun, tidak ramai yang mahu mencari cinta yang kekal abadi ini kerana tidak mahu dilanda ujian-ujian ini.
Tidak ramai yang mahu mengeluarkan keringat hatta darah sekalipun untuk merasai manisnya cinta yang bertunjangkan kekuatan aqidah terhadap yang Khalid ini.
Maka sabarlah duhai hati.
Apabila telah kau rasakan manisnya cinta dari sang Pencipta,
maka tak perlu lagi kau kejar cinta manusiawi yang rata-ratanya berlandaskan nafsu semata.
Bila telah kau tetapkan hati untuk mencintai Tuhan sekalian alam, maka itulah sebenar-benarnya kecintaan yang sejati.
Dan dalam perjalanan menelusuri denai cintai terhadap-Nya yang sudah pasti disaluti onak dan duri,
akan didatangkan seorang yang turut sama mencintai-Nya sebagaimana dirimu juga.
Sebagai peneman dan yang akan menyempurnakan sebahagian daripada imanmu.
Yang padanya ada ketenangan dan kebahagiaan berpaksikan Tuhan yang Maha Satu.
Maka sabarlah duhai hati.
Tidak perlu kau gundah gulana andainya kau masih tidak berkasih dengan manusia.
Dia akan datang. Itu sudah pasti.
Namun datangnya tiada siapa yang tahu kecuali Dia sang Pencipta cinta itu.
Moga datangnya cinta insani itu, akan menguatkan lagi kecintaanmu buat sang Pencipta cinta itu sendiri.
Kerana jiwa yang sepi tanpa cinta dan kasih dari-Nya, adalah umpama padang pasir yang kegersangan.
(www.iluvislam.com)

No comments: